JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Bahagian Muar menafikan terlibat melakukan provokasi ketika Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menganjurkan Ceramah Mega Muar di Parit Jawa, di sini malam tadi.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Helmy Latif berkata, pihaknya tidak terlibat malah menolak politik provokasi seperti itu.
“Ramai yang tanya saya betul ke tak Pemuda UMNO Muar buat (provokasi ketika Ceramah Mega Muar).
“Saya bagitau kat sini yang saya berani bersumpah tiada arahan daripada saya selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar untuk buat perkara terkutuk ini.
“Saya menentang sekeras-kerasnya. Kami tiada masa untuk ini,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter di sini hari ini.
Malam tadi, Ceramah Mega Muar parti Muda didakwa dicemari dengan insiden gangguan dan provokasi sekumpulan ‘mat rempit’ ketika Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap.
Bagaimana pun, tidak ada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis yang berada di lokasi ceramah diadakan.
Ceramah Mega Muar itu diteruskan dengan Syed Saddiq memberi ucapan setelah keadaan kembali tenang.-KOSMO! ONLINE