PETALING JAYA – Penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Muar kini dianggap daerah komputer riba dan tablet.
Beliau mendakwa, orang ramai beranggapan demikian kerana beliau telah memberi banyak komputer riba dan tablet kepada penduduk daerah itu.
“Semalam di ceramah Mega Muar (Johor) saya kongsikan “track record” saya untuk keluarga Muar.
“Berjaya berikan 2,000 laptop (komputer riba) dan tablets untuk adik-adik yang perlukan untuk belajar online (dalam talian).
“Sampai ke satu tahap, orang cakap Muar ini dah jadi daerah laptop dan tablet,” katanya di Facebook hari ini.
Syed Saddiq turut menyenaraikan beberapa lagi jasanya sebagai Ahli Parlimen Muar termasuk memberi Pasar Baharu Parit Jawa.
Memberi RM200,000 biasiswa Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), memperbaharui Jeti Sungai Sarang Buaya dan meluluskan Hab Anak Muda.
“Moga saya diberi peluang untuk terus berkhidmat di Muar,” katanya. – KOSMO! ONLINE