Bilangan mangsa yang dijangkiti Covid-19 meningkat mendadak dalam tempoh tujuh hari terakhir bermula 1 Oktober lalu sehingga semalam apabila merekodkan sebanyak 2,769 kes dengan jumlah kes harian tertinggi direkodkan pada 6 Oktober lalu melibatkan 691 orang.
Peningkatan kes ini telah kembali mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat kerana lengkung jangkitan Covid-19 yang kelihatannya sudah hampir berjaya dilandaikan, tiba-tiba meletus kembali dengan jumlah kes harian dengan catatan tiga angka.
Pun begitu, kerajaan kelihatannya masih tenang dan tidak bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau total lock down.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Situasi Covid-19 pada Selasa lalu, menyatakan kerajaan memutuskan hanya akan melaksanakan PKP Diperketatkan Secara Bersasar di kawasan zon merah.
Ia bermakna, aktiviti ekonomi dan sosial termasuk sesi persekolahan di kawasan lain yang tidak terjejas akan diteruskan seperti biasa.
Senario itu bagaimanapun membuatkan ibu bapa dan pengurusan sekolah berada dalam dilema khususnya di kawasan yang tidak terjejas dengan pandemik berkenaan.
Bagi ibu bapa, khususnya di kawasan yang menunjukkan ada tanda-tanda peningkatan kes Covid-19 seperti Selangor, mereka menjadi serba salah untuk menghantar anak ke sekolah.
Jika anak dibiarkan ke sekolah, mereka mungkin terdedah kepada jangkitan Covid-19, sebaliknya jika hanya biarkan berada di rumah, mungkin anak-anak ini akan tercicir dalam pelajaran.
Ia benar-benar menakutkan ibu bapa khususnya di kawasan yang kes Covidnya mula meningkat secara perlahan-lahan dan ramai orang sekeliling yang dijangkiti.
Keadaan sama turut meresahkan pihak sekolah khususnya guru-guru kerana sudah ada ibu bapa yang memohon untuk tidak menghantar anak ke sekolah.
Dalam kes ini, pihak sekolah terpaksa memikirkan dua perkara, pertama bimbang pelajar masing-masing dijangkiti Covid-19 dan keduanya, takut pelajar mereka akan tercicir dalam pelajaran sekiranya anak-anak ini tidak hadir ke sekolah.
Guru-guru pula mungkin tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengejar silibus yang tertinggal khususnya kepada para pelajar yang tidak hadir ke sekolah.
Lebih dibimbangi, senario tidak hadir ke sekolah ini berupaya untuk menghilangkan minat segelintir pelajar untuk terus tidak ke sekolah selepas ini.
Ia bagaikan sudah terbukti apabila satu sumber memberitahu, jumlah kehadiran membabitkan kira-kira 4.98 juta murid di semua peringkat iaitu prasekolah, sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mula menyusut selepas kerajaan membuka kembali sekolah selepas PKP lalu.
Difahamkan, setelah sekolah dibuka semula selepas PKP lalu, kira-kira 15 peratus atau sebanyak 747,00 daripada 4.98 juta pelajar itu didapati tidak hadir ke sekolah.
Ia pastinya bukan satu angka yang kecil dan kerajaan serta ibu bapa sewajibnya memberi perhatian yang serius terhadap permasalahan ini kerana ia melibatkan masa depan anak-anak kita. Jadi buatlah keputusan terbaik.-K! ONLINE