PETALING JAYA – Lantunan suara penyanyi, komposer dan pencipta lagu yang sedang meningkat naik, Aina Abdul di pentas Gegar Vaganza 9 telah meraih perhatian netizen sekaligus menjadikan nama beliau sohor kini di sosial media sejak semalam.
Penyanyi bersuara lantang itu ditugaskan untuk menjadi rakan duet kepada Jaclyn Victor yang merupakan peserta GV9.
Masing-masing membawakan lagu ‘Cinta’ nyanyian asal Marsha Milan dengan cukup harmoni dan cemerlang sehingga meriah ‘standing ovation’ daripada juri Hetty Koes Endang dan penonton.
Seusai persembahan, juri tetap iaitu Datuk Ramli MS atau Tok Ram meminta untuk memanggil semula Aina ke pentas sekaligus memberikan pujian kepada penyanyi kecil molek itu.
“Saya panggil kamu kerana kamu adalah rujukan buat generasi sekarang.
“Saya berharap kamu berdua (Jaclyn dan Aina) menyanyi sampai bila-bila sehingga ke akhir hayat,” komen Tok Ram.
Rata-rata netizen turut bersetuju dengan komen juri terkenal itu dan terdapat juga netizen yang tidak boleh ‘move on’ dengan persembahan tersebut.
“Jaclyn Victor dan Aina Abdul memang deadly duo lah. Crazy closing performance! Memang no words lah! Letop!, ciap seorang netizen.
“Gila padu duet Jaclyn Victor dan Aina Abdul malam ni, seronoknya siapa dapat tengok secara langsung dekat dewan MBSA,” ciap seorang lagi netizen.
“Tak boleh move on, keep on repeating Jaclyn Victor x Aina Abdul splendid duet performance of Cinta,” ciap netizen yang lainnya.
Jaclyn Victor sebelum ini menyatakan pemilihan Aina Abdul sebagai rakan duet beliau kerana Aina merupakan seorang penyanyi yang bijak dan hebat selari dengan tuntutan lagu yang memerlukan keupayaan teknik vokal yang mantap untuk dinyanyikan. – KOSMO! ONLINE