BIRMINGHAM – Chelsea meneruskan rentak cemerlang di bawah pengurus baharu, Graham Potter selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan The Blues mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas liga apabila mengumpul 19 mata selepas mencatat enam kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Pada perlawanan itu, pemain tengah The Blues, Mason Mount menampilkan aksi cukup baik apabila meledak kedua-dua gol pasukannya, sekali gus menamatkan kemarau jaringan dalam lapan perlawanan terdahulu.
Selain Mount, pujian juga wajar diberikan kepada penjaga gol, Kepa Arrizabalaga apabila pemain Sepanyol itu bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada jentera serangan Villa.
Bagaimanapun, Chelsea dilihat agak goyah pada separuh masa pertama apabila membenarkan pasukan tuan rumah menguasai permainan selepas turun tanpa pemain tonggak, Reece James yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan lutut.
The Blues mula menampilkan aksi sebenar selepas waktu rehat apabila Potter melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan Cesar Azpilicueta dan Kalidou Koulibaly bagi memperkemaskan benteng pertahanan yang kelihatan agak rapuh.
Meskipun Villa memberikan segala-galanya dalam usaha mereka untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata, namun tetap gagal menembusi benteng pertahanan Chelsea yang diketuai Thiago Silva.
Kekalahan itu nyata memberi tamparan hebat serta tekanan buat pengurus Villa, Steven Gerrard memandangkan mereka berada di kedudukan ke-16 liga ketika ini dan hanya dibezakan satu mata dengan zon penyingkiran. – KOSMO! ONLINE