HARRISBURG, Pennsylvania – Seorang lelaki dari negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) berjaya mengurangkan tahap depresi yang dialaminya dengan bantuan seekor aligator bernama Wally, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Lelaki berkenaan, Joseph Henney, mula rapat dan menganggap Wally sebagai teman sokongan emosi sejak 2017 apabila dia berdepan kehilangan tujuh individu rapat dengannya dalam tempoh tiga minggu.
Kehilangan mengejut itu membuatkan Henney berdepan tekanan perasaan, namun Wally berjaya membantu dia melepasi fasa tersebut.
“Saya kehilangan tiga ahli keluarga dan empat kawan seumur hidup dalam masa terdekat. Doktor mahu memberi saya ubat antikemurungan tetapi saya memilih untuk tidak mengambilnya.
“Selepas sebulan, saya kembali membuat penilaian mental dan doktor terkejut kerana keadaan saya semakin pulih, lalu bertanya apa yang telah saya lakukan. Saya beritahu bahawa saya cuma habiskan masa dengan aligator,” ujar Henney.
Menurut Henney, Wally seekor reptilia yang sangat mesra, suka dipeluk dan tidak suka menggigit.
Walaupun haiwan sepanjang 1.6 meter itu telah terbukti tenang dalam kumpulan manusia, Henney masih perlu menelefon premis tertentu terlebih dahulu jika mahu membawa Wally bersiar-siar di tempat awam.
Pennsylvania membenarkan aktiviti pemilikan buaya secara sah menerusi permit yang perlu dipohon. – Agensi