fbpx

Perak lakar hatrik Piala Tun Abdul Razak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain dan kejurulatihan Perak meraikan kejayaan menjuarai Piala Tun Abdul Razak 2022 di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – Perak mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2022 selepas berpesta gol membelasah Pahang 5-1 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Menariknya, ini adalah musim ketiga berturut-turut trofi tersebut menjadi milik skuad hoki lelaki Perak dan kali kelima dalam tempoh enam tahun sejak menewaskan Terengganu 3-2 di Ipoh pada 2017.

Sepanjang tempoh enam tahun itu, Perak hanya sekali gagal ke final pada 2019 yang menyaksikan juara edisi tersebut dimenangi oleh Melaka hasil kemenangan 3-1 ke atas Johor.

Secara keseluruhan, ia adalah trofi Piala Tun Abdul Razak yang ke-12 buat Perak sejak kali pertama memenanginya pada 1966 sekali gus membuktikan status mereka sebagai gergasi hoki tanah air.

Lima gol Perak pada final itu diperoleh menerusi dua jaringan Syed Syafiq Syed Cholan dan satu daripada Muhamad Hafizal Halmi, Muhammad Akram Hakkam Jamaluddin serta Saiful Sharil Saiful Bahri.

Gol tunggal Pahang pula dijaringkan oleh Muhammad Idris Samad.

“Saya amat berbangga kerana kemenangan ini tidak akan diperoleh tanpa semangat dan kesungguhan daripada para pemain. Ini hadiah buat seluruh rakyat Perak,” kata ketua jurulatih Perak, S. Jagatheesan.

Tempat ketiga edisi kali ini menjadi milik Melaka selepas menewaskan Johor 3-1 menerusi dua jaringan Muhammad Nur Asyraf Ishak dan satu daripada Ahmad Shuhaimi Kamaruddin.

PEMAIN Selangor meraikan kejayaan muncul juara musim ini selepas bangkit menewaskan Melaka 3-2 di Stadium Hoki Nasional petang tadi. – MHC

Juara bagi kategori wanita pula dimenangi oleh Selangor selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Melaka 3-2 pada final sebelah petang hari ini.

Dua gol Melaka diperoleh menerusi Norshafiqha Ishak dan Nur Shafika Mohd. Sharuddin sebelum Selangor bangkit dengan dua jaringan Fatin Shafika Mahd. Sukri dan satu daripada Raha Norsharina Raha Shabuddin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI