YANIE – Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers mengakui pasukannya layak untuk bergelut di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini susulan keputusan seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace di Stadium Selhurst Park kelmarin.
Menurut Rodgers, punca utama pasukannya gagal meraih prestasi yang sangat diharapkan adalah disebabkan kegagalan menandatangani pemain yang berkualiti pada jendela perpindahan lepas.
Bekas pengendali Liverpool itu berkata, tiada guna pasukan dapat mendominasi perlawanan sekiranya gagal menyudahkan peluang terhidang dalam usaha meraih kemenangan.
“Dalam arena bola sepak moden, saya faham dengan kritikan yang diterima ketika ini selepas pasukan masih bergelut di zon penyingkiran selepas mengharungi 10 aksi liga.
“Tiada alasan yang boleh saya berikan kecuali saya terpaksa bekerja dengan pemain yang sedia ada dan tidak boleh menyalahkan mereka yang sudah memberikan seratus peratus di atas padang.
“Situasi mungkin berbeza sekiranya kita dapat menambah beberapa pemain berkualiti pada jendela perpindahan lepas tetapi secara realiti situasi tersebut tidak berlaku dan saya akan bekerja keras untuk mengubah nasib pasukan ini,” katanya.
Sementara itu, Rodgers mengakui telah berhubung dengan pemilik kelab, Top Srivaddhanaprabha selepas terdapat dakwaan nasibnya ketika ini seperti ‘telur dihujung tanduk’ dan bakal dipecat dalam masa terdekat.
“Saya baru sahaja bertemu dengan Top pada Jumaat lepas dan dia faham dengan situasi pasukan. Jika situasi sebaliknya berlaku, saya akan terima dengan tangan terbuka tetapi positif akan kekal bersama pasukan musim ini,” katanya. – AGENSI