fbpx

Ali XPDC dilantik jadi duta Al-Muqwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ali (kiri) menyerahkan kontrak perjanjian kepada Amran (kanan) sambil disaksikan Roslan dalam satu majlis di Madrasah Al-Muqwa, Kampung Rantau Panjang, Klang, malam tadi. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG – Vokalis XPDC, Ali yang cedera melecur akibat disambar api mendapat suntikan semangat baharu apabila dilantik menjadi duta Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) di Kampung Rantau Panjang di sini, malam tadi.

Ali, 52, atau nama sebenarnya Mohd. Ali Ismail menzahirkan kesyukuran kerana tawaran itu muncul ketika keadaannya semakin pulih selepas mengalami kecederaan sejak Mac lalu.

Menurutnya, dia mengakui terkejut menerima pelantikan itu yang amat diimpikannya sebagai bekalan ‘saham’ akhirat.

“Bagi saya, semua ini adalah ketentuan Allah dan tanggungjawab besar yang akan dipikul sebaik mungkin untuk pembangunan madrasah Al-Muqwa.

“Selain menabur bakti di kampung halaman sendiri, saya mahu bersama masyarakat membangunkan Islam dengan terus mencintai Al-Quran dan Sunnah,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani Kontrak Perjanjian di Madrasah Al-Muqwa, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi madrasah itu, Roslan Arifin dan Mudirnya, Amran Johari.

Pada 26 Mac lalu, Ali melecur 30 peratus di muka, tangan dan kaki selepas membakar sampah menggunakan petrol di belakang rumahnya di kampung tersebut.

Dalam pada itu, katanya, dia kini masih kekal bersama XPDC dan merancang untuk mengadakan konsert pada hujung tahun ini.

“Namun, semuanya bergantung kepada keadaan semasa negara yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19,” kata penyanyi lagu Bunga Angkasa itu.

Sementara itu, Amran berkata, pelantikan Ali sebagai duta diharap dapat membantu pembangunan madrasah yang beroperasi sejak Julai 2011 tersebut.

“Kita berhasrat menjana pendapatan untuk menampung kos operasi yang berjumlah RM86,000 sebulan selain mencari aset sendiri terutama tanah dan bangunan.

“Justeru, kita berharap Ali bersama unit pemasaran yang baharu ditubuhkan dapat membantu merealisasikannya demi masa depan 233 pelajar Al-Muqwa,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI