VICTORIA – Pelumba pasukan Suzuki, Alex Rins menampilkan aksi magis pada Grand Prix (GP) Australia yang berlangsung di Litar Phillip Island semalam apabila bangkit memenangi perlumbaan tersebut.
Meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-10, namun pelumba Sepanyol itu langsung tidak mengenal erti putus asa apabila memintas seorang demi seorang pelumba untuk berada di kelompok hadapan.
Ketika perlumbaan berbaki satu pusingan, Rins mula mengatur langkah apabila memintas pelumba Ducati, Francesco Bagnaia untuk memimpin saingan sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang.
“Satu perlumbaan yang sangat istimewa hari ini (semalam) kerana saya sangat gemar berlumba di sini. Saya sangat gembira dan lega kerana dapat memenangi perlumbaan yang cukup sukar,” kata Rins sejurus tamat saingan.
Perlumbaan itu turut menyaksikan perubahan dalam carta Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini apabila Bagnaia yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga memintas Fabio Quartararo dari pasukan Yamaha sebagai pendahulu kejuaraan.
Malang terus menimpa Quartararo apabila dia gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan ke-11, sekali gus menyaksikan peluangnya untuk mempertahankan kejuaraan dunia semakin tipis.
Mengiringi Rins di podium bagi meraikan kemenangan adalah juara dunia enam kali dari pasukan Repsol Honda, Marc Marquez yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua diikuti Bagnaia di kedudukan ketiga.
Perlumbaan seterusnya pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu depan pasti lebih menarik apabila ia dijangka mampu menjadi penentu kepada kejuaraan dunia musim ini. – AGENSI