SEREMBAN – Pemuda UMNO Seremban terus mendesak supaya kerusi Parlimen Seremban ditandingi oleh parti tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pemudanya, Zool Amali Hussin berkata, desakan itu telah dibawa sejak empat tahun lalu selepas MCA menerusi calonnya mengalami kekalahan tiga kali berturut-turut sejak PRU12 sehingga PRU14.
Menurut beliau, desakan itu mewakili suara akar umbi yang mahukan calon dari UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Seremban yang merupakan parlimen terbesar dengan enam Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya.
“Dengan majoriti pengundi Melayu yang kini sudah mengatasi peratusan jumlah pengundi, apa salahnya beri peluang kepada UMNO untuk menjadi calon,” katanya ketika mengadakan flash mob desakan tersebut di hadapan Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
Pada 4 September lalu, Pemuda UMNO Seremban mempelawa penyandang kerusi Parlimen Rembau. Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Kesihatan bertanding di Parlimen Seremban.
Zool Amali berkata, ‘flash mob’ berkenaan akan diteruskannya di enam lagi DUN di Parlimen Seremban iaitu di tempat-tempat tumpuan awam dan banyak calon dari UMNO boleh diketengahkan bagi mewakili BN.
“Inilah suara akar umbi, suara anak muda di Parlimen ini. Pucuk pimpinan menyatakan mengenai calon boleh menang. Kami akan desak sehingga hari penamaan calon.
“Sebaik sahaja hari penamaan calon dan keputusan tidak memihak kepada UMNO meletakkan calon, kami tidak mempunyai masalah untuk membantu jentera BN bertanding.
“Namun mahu kata menang susah sebab sudah tiga kali kalah, kalau beri peluang kepada UMNO, mungkin kami boleh pengaruhi undi serta memberikan saingan,” katanya. – KOSMO! ONLINE