SAUDARA PENGARANG,
Ketika ini banyak kawasan perumahan baharu begitu rancak dijalankan di kawasan Jenderam Hilir, Dengkil.
Kawasan yang dahulunya tidak dikenali kini semakin ramai penghuninya. Banyak keluarga bermakna ramai anak-anak yang akan bersekolah di situ.
Pembukaan susur keluar Southville dan Bandar Serenia di Lebuh Raya Utara Selatan menambah lagi minat orang untuk berkampung di situ.
Di sebalik banyak rumah baharu yang gah terbina di situ, saya perhatikan kawasan sekolah sudah semakin sesak dengan anak murid.
Tiga tahun dahulu hanya satu sesi, tetapi sekarang sekolah kebangsaan berjalan dua sesi kerana kelas tidak cukup. Alangkah kecewa hati apabila rancangan untuk membina sekolah baharu di situ tidak termasuk dalam Bajet 2023.
Sekiranya calon Pilihan Raya Umum ke-15 hendak memikat hati pengundi Dewan Undangan Negeri Dengkil, pembinaan sekolah perlu dimasukkan dalam manifesto mereka.
Sebelum ini simpang empat menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, Dengkil dan Putrajaya yang digelar ‘simpang neraka’ oleh penduduk setempat kerana masalah kesesakan telah selesai dengan pembinaan jejambat.
Jika masalah bangunan sekolah ini selesai, saya jangka jasa wakil rakyat itu akan diingati sampai bila-bila.
Apa lagi yang ditunggu, jalankan tugas Yang Berhormat yang bakal bertanding dalam pilihan raya dengan segera.
Kasih guru
Jenderam Hilir, Dengkil