fbpx

Taburan jasa, budi Adibah Noor tetap dikenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WEBTVASIA menyalurkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada keluarga Allahyarham Adibah Noor pada majlis apresiasi filem Juang yang berlangsung baru-baru ini.

KATA orang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Hampir empat bulan selepas pemergian anak seni berbakat besar, Allahyarham Adibah Noor ke negeri abadi, ramai pihak masih menghargai budi dan jasa yang ditaburkan wanita itu dalam industri kreatif tanah air.

Atas alasan tersebut, sumbangan bernilai RM20,000 disampaikan syarikat digital, WebTVAsia kepada keluarga Allahyarham Adibah Noor pada majlis apresiasi filem Juang, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fred Chong, sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan bidaan tujuh edisi terhad reka bentuk Non-Fungible Token (NFT) filem Juang pada tayangan perdananya Ogos lalu.

FRED Chong gembira kerana dapat berbakti kepada Allahyarham Adibah Noor dengan menghulurkan wang ringgit kepada keluarganya. 

Sumbangan disampaikan kepada kakak Allahyarham iaitu Noor Abidah Mohd. Omar.

Fred yang telah lama mengenali pelantun lagu Terlalu Istimewa itu menzahirkan rasa gembira kerana dapat berbakti dan menghulurkan sesuatu dalam bentuk wang ringgit kepada keluarga Allahyarham.

‘10 tahun kenal Adibah’

“Lebih 10 tahun kenal Adibah, dia ialah antara orang paling baik pernah saya jumpa. Dia sentiasa menyokong kuat perjuangan kami memartabatkan cerita tentang perpaduan rakyat di negara ini.

“Saya tak berkesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya walaupun sentiasa berhubung, namun sejak pandemik Covid-19, jarang sangat lepak dengannya terutama pada tahun terakhir sebelum dia meninggal dunia.

“Setahun lalu, saya ada hantar pesanan kepadanya untuk tawarkan projek, namun tidak berbalas. Saya fikir dia marahkan saya tetapi dapat tahu yang dia sebenarnya sedang sakit,” kata Fred.

Adibah meninggal dunia pada 18 Jun lalu di sebuah pusat perubatan di Jalan Ampang kira-kira pukul 6.30 petang disebabkan kanser ovari tahap empat.

Dalam pada itu, WebTVAsia bersama Filmforce Studio dan Asia Tropical Films (ATF) selaku penerbit filem Juang turut menyumbangkan RM20,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Thrive Well dan The Hope Branch.

Sektor kreatif terus maju

Thrive Well menerima RM10,000 yang disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ellisha Othman dan The Hope Branch juga menerima dengan jumlah sama yang disampaikan kepada pengasasnya, Harith Iskander.

HARITH Iskander selaku pengasas The Hope Branch.

Fred yang juga penerbit bersama filem Juang berkata, sektor kreatif tanah air akan terus berdaya maju pada masa akan datang dengan karya-karya yang lebih bermutu.

“Kami berharap dapat meningkatkan sektor kreatif Malaysia melalui inisiatif digital NFT sebagai pemangkin kepada peluang komersial dan penjenamaan baharu kepada pekerja industri pada masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI