fbpx

Alam Flora minta orang ramai ubah sikap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Alam Flora melakukan kerja pembersihan longkang di Lorong Baba, Kuala Lumpur baru-baru ini. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Tindakan membuang sampah sesuka hati dan merata-rata sehingga memenuhi longkang merupakan masalah utama yang dihadapi hampir kebanyakan bandar utama di seluruh dunia akibat sikap masyarakat itu sendiri.

Di ibu negara, isu ini menjadi salah satu penyumbang utama kepada berlakunya kejadian banjir kilat seperti yang terjadi pada hujung tahun lalu apabila banyak kedai dinaiki air, perniagaan terpaksa ditutup sementara dan harta benda rosak.

Syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan tahap kebersihan di kawasan pentadbirannya kekal bersih tanpa pencemaran sampah.

Secara purata, sebanyak 2,300 tan sampah domestik dikutip Alam Flora setiap hari di sekitar ibu kota melibatkan gerak kerja sebanyak enam kali seminggu dan sebulan sekali bagi pembersihan longkang.

Dalam pada itu, seramai 1,687 pekerja Bahagian Unit Khas Alam Flora bertanggungjawab dalam melaksanakan kerja pembersihan sampah di tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Sampah merata-rata yang dibuang individu tidak bertanggungjawab di Lorong Baba.

Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Azahari Zainal Abidin berkata, kesemua skuad khas tersebut telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan arahan semasa terutama dalam menghadapi ramalan banjir menjelang pertengahan November ini.

“Alam Flora bersama pihak berkuasa tempatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan telah melipatgandakan usaha memastikan sampah tidak dibiarkan di merata-rata.

“Selain itu, pihak kami turut memfokuskan masalah longkang tersumbat agar tidak menyumbang kepada risiko banjir besar.

“Kami juga telah membuat satu perancangan rapi dan tersusun dalam menghadapi bencana banjir dan pemantauan berterusan akan kekal dilakukan melibatkan kawasan-kawasan hotspot banjir,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Azahari, terdapat 14 kawasan hotspot yang menjadi tumpuan utama Alam Flora antaranya di Jalan Brunei, Jalan Pudu, Jalan Changkat Thambi Dollah, Jalan Cheras dan Jalan Maharajalela (stesen monorel).

Mengulas mengenai tugas kerja Alam Flora, Azahari memaklumkan, pihaknya kini mempunyai tenaga kerja yang cukup dalam mengendalikan pembersihan dan kutipan sampah yang berlaku di negara ini.

“Alam Flora juga membuat pembersihan di kawasan pasar-pasar awam, tandas awam, taman permainan dan tempat rekreasi awam selain kerja pemotongan rumput di kawasan-kawasan tertentu.

Azahari

“Kami juga jalankan operasi pembersihan di kawasan siar kaki yang lebih tertumpu di kawasan pusat badan yang menjadi tumpuan orang ramai sekitar pusat beli-belah Suria Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Bangsar, Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan sebagainya,” kata beliau.

Menurutnya, di kawasan-kawasan tumpuan ramai tersebut, Alam Flora menjalankan kerja pembersihan jalan dan kutipan sampah secara tiga kali sehari iaitu dari pagi sehingga ke pagi hari seterusnya.

Petugas Alam Flora menyapu sampah yang dibuang orang ramai terutama segelintir penduduk setempat di Lorong Baba, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya ingin menyarankan masyarakat agar jadikan amalan kebersihan ini sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita. Jika satu tempat itu bersih, kita akan lebih selesa dan hidup dengan suasana yang lebih tenang serta udara yang segar.

“Tugas pembersihan bukan semata-mata kerja pihak berkuasa mahupun Alam Flora, tetapi kita perlukan sokongan semua pihak iaitu rakyat sendiri, komuniti, dari segi paparan media, operasi pengurusan dan pengendali perlu mempertingkatkan lagi untuk kesedaran dan pembersihan sampah serta amalan kitar semula,” ujarnya.

Longkang akan dibersihkan sebulan sekali bagi memastikan air mengalir dengan lancar di Lorong Baba.

Sementara itu, Alam Flora memohon agar pihak berkuasa dapat memainkan peranan lebih tegas kepada mana-mana individu yang tidak berdisiplin dalam menjaga kebersihan negara terutamanya melibatkan para peniaga dan penjaja yang dilihat membuang sisa makanan serta pepejal terus ke longkang.

“Permohonan Alam Flora dalam menjalankan kerja pembersihan longkang secara dua kali sebulan sekurang-kurangnya diharapkan mendapat kelulusan segera pihak berkuasa agar menjadi langkah awal pasukan kami untuk memastikan tiada masalah longkang tersumbat yang dipenuhi sampah dalam mengelakkan berlakunya banjir kilat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI