BEIJING – Presiden Xi Jinping membuka acara kongres lima tahun Parti Komunis China dengan memuji kejayaan dasar sifar Covid serta langkah memerangi rasuah di hadapan beribu-ribu delegasi yang berkumpul di bangunan Great Hall of the People di Beijing, semalam.
Pemimpin itu menerima tepukan gemuruh daripada kira-kira 2,300 peserta ketika berjalan naik ke atas pentas bagi menyampaikan ucapan selama 1 jam 40 minit.
Jinping ketika ucapannya berkata, kongres itu berlangsung pada waktu kritikal yang dihadapi China sambil mempertahankan dasar-dasar yang diamalkan pemerintahannya.
Beliau meraikan usaha berterusan parti tersebut yang melaksanakan sekatan ketat Covid-19 yang dianggap sebagai kejayaan besar.
“Langkah tersebut telah melindungi keselamatan rakyat China dan kesihatan mereka ke tahap tertinggi,” ujarnya.
Selain itu, Jinping turut memuji kejayaan pemerintahannya dalam memerangi gejala rasuah yang telah menyaksikan beribu-ribu orang dipenjarakan.
Menurutnya, kempen antirasuah telah berjaya menghapuskan bahaya tersembunyi yang serius dalam kalangan Parti Komunis China, pasukan tentera dan negara itu sendiri.
“Perjuangan memerangi rasuah telah menempa kejayaan luar biasa dan dilakukan secara menyeluruh,” katanya.
Jinping selain itu turut memberi fokus kepada isu-isu paling sensitif melibatkan keselamatan dan kedaulatan China termasuk berkaitan Hong Kong dan Taiwan.
Beliau memuji peralihan Hong Kong daripada sebuah ‘keadaan huru-hara kepada tadbir urus yang baik’, dan dalam masa sama berikrar tidak akan memandang ringan penggunaan ‘kekerasan’ terhadap Taipei.
Berkenaan dasar diplomatiknya dengan negara-negara lain, Jinping berkata, Beijing menolak mentaliti Perang Dingin dalam diplomasi antarabangsa, namun tidak menyebut mengenai hubungannya yang ‘retak’ dengan Washington.
“China..tegas menentang segala bentuk hegemoni dan politik kuasa, menolak mentaliti Perang Dingin, menentang campur tangan dalam politik domestik sesebuah negara serta membangkang pendekatan pilih bulu,” tegasnya.
Sekiranya semuanya berlangsung seperti diramal, Jinping, 69, dijangka dilantik menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis China selepas kongres selama seminggu itu berakhir, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin China paling berkuasa sejak era pemerintahan Mao Zedong yang merupakan pengasas Republik Rakyat China dan bekas pemimpin tertinggi parti tersebut.
Jika dipilih sekali lagi sebagai ketua parti itu bagi penggal lima tahun akan datang seperti diramal, Jinping berkemungkinan tinggi akan diundi sebagai presiden pada Mesyuarat Tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan China pada Mac tahun depan.
Beliau dan senarai pemimpin tertinggi lain parti tersebut akan diumumkan sehari selepas kongres berakhir pada 23 Oktober ini. – AFP