PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook hari ini memberi panduan kepada golongan murid serta ibu bapa dalam memilih beg sekolah yang bersesuaian.
Terdahulu, isu beg sekolah berat sehingga menjejaskan kesihatan murid menjadi topik bualan dalam kalangan orang ramai dan rata-ratanya melihat situasi tersebut sebagai masalah besar yang perlu ditangani segera.
Bagaimanapun, PHM berkongsi ciri-ciri beg sekolah yang sesuai digunakan untuk murid sekolah dalam mengatasi isu berbangkit tersebut.
Katanya, elakkan menggunakan beg yang memiliki aksesori berlebihan bagi mengelakkan beban bertambah.
“Jika sekolah mempunyai beberapa aras dan mempunyai permukaan tidak rata, beg beroda kurang sesuai.
“Jangan membeli kotak pensel, bekas air, alat tulis dan aksesori yang bersaiz besar dan berat. Jangan terpengaruh dengan jenama dan reka bentuk,” katanya.
Jelasnya lagi, PHM menyarankan agar murid tidak menggalas beg dengan satu penyandang kerana beban yang dibawa tidak seimbang kepada satu bahagian badan dan boleh mengakibatkan tulang belakang membengkok.
“Elak melaraskan penyandang beg terlalu longgar sehingga beg melondeh ke pinggul dan menyebabkan beg tersebut berhayun apabila berjalan kerana ia menambahkan bebanan secara semula jadi.
“Pemilihan beg yang salah dan cara menyandang yang salah boleh mengakibatkan sakit tengkuk, sakit belakang serta masalah-masalah tulang belakang yang lain seperti skoliosis dan kyphosis,” katanya. – KOSMO! ONLINE