SHAH ALAM – Dua UMNO bahagian masing-masing Kota Raja dan Kuala Langat meluluskan usul serta sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Datuk Kamaruzaman Johari usul tersebut diluluskan dengan sebulat suara oleh semua perwakilan.
“Mesyuarat yang bermula pukul 2.30 petang dan tamat pukul 5 petang semalam telah meluluskan usul Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.
“Selepas mesyuarat, kita turut melancarkan jentera PRU15 Barisan Nasional (BN) Kota Raja yang dirasmikan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Abdul Razak Khasbollah memberitahu, walaupun tiada usul khas berhubung perkara itu namun tetap dibahaskan oleh perwakilan bahagian tersebut.
“Kita tetap memberi sokongan sebagaimana keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini,” katanya. -KOSMO!ONLINE