SEPANG – UMNO Bahagian Sepang bersetuju agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan.
Sokongan secara sebulat suara itu adalah antara beberapa usul yang dipersetujui kepimpinan bahagian tersebut pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang 2022 di sini hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said ketika ditemui pemberita berkata, beliau bersyukur apabila perwakilan yang hadir memberi sokongan amat penuh menjelang kempen PRU15 akan datang.
“Ini membuktikan bahawa semua perwakilan telah mengambil maklum mengenai keputusan yang ditetapkan ketika penutup Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 19 Mac lalu,” katanya.
Mengulas lanjut, Noorazli bagaimanapun berkata, UMNO Bahagian itu menyerahkan kepada pucuk kepimpinan parti tersebut atau dirujuk sebagai Top 5 jika ada nama lain sebagai calon.
“Ini juga selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO agar jika Ismail Sabri tidak sesuai, maka pihak Top 5 diberikan kuasa untuk memilih siapakah calon lain pula,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE