fbpx

PRU 15 : Pilih ekonomi, bukan emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pilih dengan akal ukan guna emosi

Ramai merasakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi adalah pilihan raya yang paling sukar untuk dibuat pilihan. Dengan pertembungan tiga penjuru kumpulan berkerencaman parti, tidak hairanlah sampai tular permainan di TikTok, Nak Sokong Siapa? Ini jelas mengisyaratkan ada yang bingung seolah-olah pasrah untuk menerima siapa sahaja.

Apatah lagi, ketiga-ketiga kumpulan politik itu iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai sejarah memimpin Malaysia dan ada sisi aib atau kelemahan masing-masing yang telah ‘ditelanjangkan’ di depan rakyat.

“Setiap kali saya bertanya kawan-kawan tentang pilihan raya, kebanyakan mereka akan cakap ‘tidak tahu nak undi siapa, mungkin tidak undi kot’,” demikian tulis seorang individu di Twitter.

Mengundi ialah kewajipan sebagai rakyat, namun tidak kira parti apapun yang akan anda pangkah, penulis harap kita sama-sama menyasar harapan untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negara ini demi pemulihan dan kemajuan ekonomi. Kestabilan politik, tidak dapat tidak, hanya boleh diwujudkan dengan memberikan mandat besar kepada satu kumpulan politik.

Kita mendengar, Bank Dunia sudah memberi amaran bahawa dunia bakal berdepan kemelesetan ekonomi global tahun depan, dan kita tidak mahu kecelaruan politik merumitkan lagi situasi ini.

Di sebalik krisis politik yang bertali arus, Malaysia sedang kehilangan jumlah pelaburan langsung asing yang agak tinggi. Banyak syarikat asing yang dahulunya berminat melabur atau telah melabur di Malaysia kini mengalihkan tumpuan mereka ke Indonesia dan negara-negara ASEAN lain kerana faktor politik yang agak kurang stabil di Malaysia.

Kerapuhan negara menyebabkan para pelabur berkira-kira untuk menjalankan pelaburan kerana menjangkakan risiko dan kebarangkalian perubahan polisi yang akan dihadapi mereka.

Malaysia dilihat ketinggalan dalam menarik pelaburan asing ke negara ini sedangkan sejumlah AS$156 bilion (RM733 billion) daripada pelaburan langsung asing telah dilaburkan ke rantau Asia Tenggara pada tahun 2020. Kita yang pernah menjadi ‘Harimau Asia’ cuma menerima 5 peratus daripadanya.

Kemenangan dua pertiga akan menghadirkan kestabilan politik kerana parti yang mewakili kerajaan dapat melaksanakan pentadbiran tanpa perlu terlalu banyak menghabiskan masa dengan rantaian dilema atau kemelut politik yang berganti-ganti dan tidak berkesudahan.

Kita sudah jelak, mual dan bosan dengan istilah ‘kerajaan pintu belakang’, ‘undi tidak percaya’ atau ‘ada angka’ biarpun kini istilah lompat parti mungkin tiada lagi setelah Rang Undang-Undang Antilompat Parti diluluskan Dewan Negara.

Rakyat sudah cukup menderita dengan ada di antara kita yang kehilangan kerja dan menanggung tekanan sara hidup, apakah kita mahu situasi ini kian mencengkam sehingga fenomena ekonomi yang suram dan kekurangan peluang pekerjaan terus berleluasa?

Memberi mandat yang besar juga bermakna ada sebahagian antara kita perlu mengorbankan emosi dalam membuat pemilihan.

Sama ada emosi itu emosi kebencian, ketakutan mahupun ketaksuban, perasaan-perasaan itu diketepikan demi masa depan negara yang lebih gemilang menurut akal. Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa, pastinya kita tidak mahu terulangnya kemenangan seketika seperti yang terakam sejarah beberapa tahun lalu dan undi kita akhirnya sia-sia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI