PETALING JAYA – Pendakwah bebas popular, Ebit Lew melahirkan rasa bertuah dapat bersua muka dengan individu yang mendakwa dirinya keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW, Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi.
Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, berkongsi perkara tersebut menerusi hantaran status terbaharu media sosialnya.
“Rezeki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjumpa dengan Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi. Alhamdulillah, terkesan dengan akhlak mulia Mawla lemah lembut orangnya.
“Orang soleh dan penuh dengan adab. Merendah diri orangnya. Saya minta beliau mendoakan saya. Beliau minta saya doakannya. Kami saling mendoakan,” coretnya menerusi satu entri dalam Facebook selain menyertakan beberapa keping foto bersama individu kelahiran Maghribi itu.
Menerusi hantaran status sama, Ebit memaklumkan, dalam pertemuan tidak dirancang tersebut, dia sempat meminta nasihat berkenaan ujian dalam berdakwah menegakkan syiar Islam.
“Sempat saya minta nasihat tentang ujian dalam dakwah dan hidup. Katanya, apabila ada ujian itulah dakwah.
“Rasulullah SAW doa hidayah untuk umat. Nabi Muhammad SAW tidak minta dibaling batu ketika di Thaif tetapi ujian tidak berhenti.
“Rasulullah SAW tetap mendoakan kebaikan dan hidayah. Sunnatullah dalam dakwah ditentang dan diuji. Ya Allah berjuta kebaikan yang Kau berikan padanya, berikanlah sedikit pada saya,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Mawla gagal mendapatkan kelulusan daripada beberapa jabatan agama negeri membuatkan program beliau di Kedah, Terengganu, Kelantan dibatalkan. Sementara itu, nasab keturunan individu itu yang mendakwa sebagai keturunan Nabi Muhammad SAW turut mendapat tentangan daripada beberapa pihak.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan pihak mereka tidak membenarkan ceramah atau program Maulidur Rasul yang dihadiri Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi. – KOSMO! ONLINE