GEORGE TOWN – Kira-kira 200 pengunjung beragama Islam di sebuah kelab malam popular di Lebuh Chulia di sini dikejutkan dengan kehadiran pasukan penguatkuasa Jabatan hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), awal pagi tadi.
Difahamkan, operasi bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama pasukan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) itu turut menahan seorang bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang bergelar Datuk.
Ketika serbuan Kira-kira pukul 1.30 pagi itu, pengunjung terdiri lelaki dan wanita dikatakan sedang leka berhibur dengan alunan muzik rancak termasuk ada yang menikmati minuman beralkohol.
Premis berkenaan menjadi pilihan anak muda tempatan setiap malam hujung minggu sehingga ke pukul 2 pagi.
Kehadiran mereka ke situ juga dipercayai selepas penguatkuasaan aktiviti merempit di Pulau Pinang susulan kemalangan membabitkan kematian lima penunggang motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Julai lalu.
Mereka yang berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan untuk diberi kaunseling dan tindakan oleh pasukan penguatkuasa JHEAIPP.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, satu sidang akhbar berhubung operasi tersebut akan diadakan pada pukul 12 tengah hari esok. – KOSMO! ONLINE