BERA – Bajet 2023 yang dibentangkan dalam Sidang Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu bukanlah omong kosong kerana kerajaan sudah mempunyai peruntukan untuk melaksanakannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi setiap bajet yang diumumkan cuma ia belum diluluskan kerana perlu dibahaskan di dalam Sidang Dewan Rakyat.
Tegasnya ini menolak dakwaan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Bajet 2023 dianggap sebagai belanjawan untuk menggula-gulakan rakyat sempena PRU15.
“Bajet diumum dalam Parlimen sebab kita (kerajaan) sudah ada duit. Cuma belum lulus lagi. Kalau nak bajet yang ‘cantik’ macam ini, undilah kerajaan yang ada sekarang.
“Kalau kerajaan Barisan Nasional (BN) menang, bajet boleh bentang semula, dan luluskan bajet yang telah dibentangkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, apa yang kerajaan mahu laksanakan menerusi Bajet 2023 adalah berdasarkan peruntukan sedia ada berbanding manifesto yang akan dibentangkan oleh pihak pembangkang yang hanyalah janji kosong.
“Manifesto pembangkang cuma sekadar janji, sebab duit pun tiada lagi. Kita sudah ada duit, cuma pastikan kita menang, semua bajet akan ditunaikan.
“Dan janganlah sesekali kita lupa dan kena tipu sekali lagi. Jangan dipatuk ular sebanyak dua kali dari lubang yang sama,”katanya. – KOSMO! ONLINE