IPOH – Pelumba drag, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin yang meninggal dunia sewaktu menyertai perlumbaan drag Battle of The Kings di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di Terengganu semalam selamat dikebumikan di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Muhamad Hafez atau Apeh Jamal, 40, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya pada pukul 10.10 pagi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu ke kediaman keluarganya di Puncak Meru di sini sekitar pukul 4.30 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan pada pukul 9.30 pagi.
Berita Berkaitan: [VIDEO] Peserta perlumbaan drag maut kemalangan di Gong Badak
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru.
Proses pengebumian berjalan lancar dengan kehadiran lebih 200 orang terdiri dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk kampung.
Berita Berkaitan: [KEMASKINI] Kereta Apeh Jamal terbabas tidak jauh dari petak permulaan
Bagaimanapun usaha untuk menemubual isteri dan bapa Allahyarham gagal apabila mereka enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kehilangan insan tersayang.
Dalam kejadian sekitar pukul 11.35 pagi semalam, Apeh yang meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia 18, 11, 9 dan setahun maut akibat kecederaan parah selepas kereta lumba yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas.
Kemalangan maut itu menyebabkan siri perlumbaan yang sepatutnya berakhir semalam dibatalkan serta-merta oleh pihak penganjur.- KOSMO! ONLINE