ALOR SETAR – Kedah Darul Aman (KDA) FC menutup tirai saingan Liga Super musim ini dengan lima kekalahan berturut-turut apabila sekali lagi tumpas di tangan Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Darul Aman, di sini malam ini.
Kemenangan diraih anak-anak buah Nafuzi Zain itu juga bermakna Sang Penyu berjaya layak ke saingan AFC musim depan dengan menduduki tangga kedua liga setelah Sabah FC tunduk 3-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.
Seawal minit ketiga, pemain TFC, Mohd. Faisal Abdul Halimberjaya menghasilkan gol pertama perlawanan apabila rencana satu duanya dengan Petrus Shitembi berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan KDA FC, sebelum dia melakukan tolakan leret menewaskan Muhamad Ilham.
Pada minit ke-16, Sang Penyu terus mengganas apabila mereka menghasilkan gol kedua menerusi bekas pemain KDA FC, Tchetche Kipre.
Memasuki babak kedua, TFC terus menguasai perlawanan biarpun KDA FC membawa masuk dua pemain baharu, Mohammad Fayadh Zulkifli serta Mohamad Heshamudin Ahmad bagi menggantikan Mohamad Al-Hafiz Harun dan Muhammad Ariff Farhan Md. Isa.
Derita KDA FC bertambah pada minit ke-74 apabila Kipre yang juga kapten pasukan itu melepaskan rembatan deras dari dalam kotak penalti sebaik menerima hantaran pemain gantian, Mohd. Faiz Mohd. Nasir untuk gol ketiga Sang Penyu.
Seterusnya pada minit ke-87, KDA FC akhirnya berjaya mendapat gol sagu hati apabila gerakan satu dua diilhamkan oleh pemain import dari Ivory Coast, Dechi Marcel bersama Mahmoud Al-Mardi, membuka ruang buatnya untuk melakukan rembatan dari dalam kotak penalti.
Ia sekali gus menewaskan penjaga gol TFC, Mohd. Suhaimi Husin untuk keputusan muktamad, 3-1 memihak kepada Sang Penyu. – KOSMO! ONLINE.