PHILLIP ISLAND, Australia – Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin melakukan kejutan apabila menyambar petak utama dengan rekod baharu sepusingan terpantas pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Australia semalam.
Pelumba Sepanyol tersebut bermula baik pada sesi kelayakan di Litar Philip Island sekali gus mengatasi rekod yang dipegang bekas pelumba Yamaha, Jorge Lorenzo pada 2013 dengan catatan satu minit 27.767s.
Bagaimanapun, perebutan gelaran dunia MotoGP bertambah sengit selepas pelumba Ducati, Francesco Bagnaia menempah petak ketiga, manakala juara dunia 2021, Fabio Quartararo yang mendahului carta kedudukan pelumba musim ini bermula di petak kelima.
Manakala, juara dunia enam kali, Marc Marquez dilihat semakin pulih daripada kecederaan lengannya apabila memulakan saingan dipetak kedua selepas hanya dipisahkan 0.013s dengan Martin pada sesi kelayakan tersebut.
Bagnaia yang dipisahkan dua mata dengan Quartararo mengakui dia bersedia mengambil risiko untuk menewaskan pelumba Yamaha tersebut.
“Saya perlu mengambil risiko dan sangat penting untuk berada di hadapan. Pada saya baki perlumbaan bukanlah terbaik bagi jentera kami.
“Tetapi ketika ini kami melakukan sebaik yang boleh dan saya harap mampu melakukannya terutama dalam perlumbaan sebenar esok.
“Tetapi kalau boleh saya tidak mahu memikirkan tentang kejuaraan. Memang bagus untuk memikirkan tentang kejuaraan, tetapi inilah masanya untuk berjuang habis-habisan,” tegas Bagnaia.
Bagnaia yang menamatkan saingan podium tempat ketiga di GP Thailand kini hanya dibezakan dua mata dengan Quartararo selepas mengumpul 217 mata keseluruhan. – AGENSI