MADRID – Seorang profesor di Sepanyol mendedahkan kaedah penipuan melibatkan beberapa batang pen yang digunakan oleh seorang pelajarnya untuk berjaya dalam peperiksaan, lapor akhbar New York Post semalam.
Dalam satu perkongsian di laman Twitter, Profesor Undang-Undang Universiti Malaga, Yolanda de Lucchi berkata, kes tersebut yang berlaku dalam satu peperiksaan yang diadakan secara bersemuka.
Peperiksaan itu diadakan untuk subjek ‘undang-undang prosedur jenayah’.
Dia merampas beberapa batang pen jenama BIC daripada seorang pelajar lelaki sebelum menggelar kaedah penipuan itu sebagai ‘seni’.
Pelajar itu didakwa memasukkan sebatang jarum ke dalam pensil mekanikalnya untuk mengukir nota ujian di atas 11 pen, demikian menurut seorang pengguna Twitter bernama Gonzo yang mengaku bahawa dia juga pernah menggunakan taktik serupa.
“Permulaan setiap topik dikenal pasti selepas tulisan BIC.
“Jika anda perasan, hujung setiap pen dicat hitam (dakwat pen BIC tidak penuh sampai hujung) supaya nota dapat dilihat lebih jelas,” kata Gonzo. – Agensi