BANDAR RAYA NEW YORK – Salah sebuah fosil dinosaur jenis Tyrannosaurus rex (T-Rex) paling sempurna di dunia berjaya dijual pada satu harga rekod baharu, AS$31.8 juta (RM132 juta) kelmarin oleh rumah lelongan Christie’s di sini.
Jualan itu adalah hampir empat kali ganda lebih tinggi direkod berbanding untuk satu fosil dinosaur yang pernah dilelong sebelum ini.
Harga pembukaan lelongan bagi rangka dinosaur T-Rex yang diberi nama Stan bermula antara enam hingga lapan juta dolar (RM25 juta hingga RM33 juta).
Jualan kelmarin itu memintas rekod jualan fosil yang dinamakan sebagai Sue, mencatat harga bidaan akhir AS$8.4 juta (RM35 juta) pada Oktober 1997 oleh Sotheby’s kepada Muzium Sejarah Semula Jadi Field di Chicago.
Terdapat kira-kira 50 fosil Tyrannosaurus rex ditemui di seluruh dunia sejak penemuan rangka pertama pada 1902.
Saingan untuk memiliki Stan bertambah sengit selepas 14 minit lelongan dibuka dengan cuma tinggal tiga pembida sebelum jualan dihentikan pada harga AS$27.5 juta (RM114 juta), belum termasuk kos tambahan serta komisyen.
Jualan diadakan di New York itu turut menerima bidaan daripada pengumpul di Hong Kong dan London, diuruskan oleh pakar-pakar Christie’s menerusi panggilan telefon.
Stan setinggi empat meter dan sepanjang 12.1 meter ada kesan tebuk pada tengkoraknya. Pakar arkeologi percaya ia kesan pergaduhan dengan T-Rex lain.
Kumpulan pakar juga percaya Stan mungkin seberat lapan tan dan hidup kira-kira 67 juta tahun lalu. Fosil Stan ditemui di
Dakota Selatan pada 1987 dan dinamakan sempena Stan Sacrison, ahli paleontologi yang menemui rangka purba berkenaan. – AFP