LONDON – Dua penunjuk perasaan yang berang menyimbah sup tomato pada sebuah lukisan terkenal karya pelukis Belanda, Vincent Van Gogh bernilai £76 juta (RM400 juta) dalam insiden di Galeri Nasional, tengah London, lapor akhbar Daily Star.
Dua aktivis daripada kumpulan kempen iklim, Just Stop Oil itu menyimbah sup tomato pada karya seni dinamakan Sunflower itu pagi kelmarin sebelum ‘melekatkan’ diri mereka pada dinding berdekatan
Anna Holland, 20, dan Phoebe Plummer, 21, menyertai protes tersebut kerana menuntut kerajaan Britain supaya menghentikan semua projek minyak dan gas baharu.
Protes menyimbah sup itu menjadi lambang kepada ramai keluarga yang tidak mampu untuk memanaskan makanan.
“Apakah yang lebih bernilai, seni atau kehidupan? Adakah ia lebih bernilai daripada makanan? Lebih daripada keadilan?
“Adakah anda lebih mengambil berat tentang perlindungan lukisan atau planet dan manusia?” jerit salah seorang daripada mereka di hadapan penonton.
Karya tersebut dikatakan terselamat daripada serangan berkenaan kerana dilindungi oleh sekeping kaca.
Just Stop Oil mengadakan beberapa protes berprofil tinggi di seluruh Britain sebagai usaha untuk mengekang perubahan iklim yang berterusan.
Susulan kejadian, pegawai Polis Metropolitan mengesahkan di laman Twitter bahawa dua aktivis itu telah ditahan kerana melakukan jenayah kerosakan dan pencerobohan. – Agensi