SALEM, Oregon – Sejenis hidupan laut gergasi misteri ditemui terdampar di pesisir pantai negeri Oregon, Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar New York Post kelmarin.
Ia ditemui oleh oleh penduduk tempatan, Adoni Tegner semasa dia memandu di tepi pantai dekat Florence.
Makhluk besar itu digambarkan oleh Tegner seperti raksasa, ditutupi rambut putih panjang dan berbau seperti mamalia mereput.
“Saya tidak pernah melihat haiwan seperti itu sebelum ini,” katanya.
Tegner kemudian menyiarkan gambar haiwan itu di laman Facebook untuk bertanya jika sesiapa dapat mengenalinya.
Netizen memberi pendapat bahawa ia mungkin ‘globster’, iaitu nama yang diberikan kepada haiwan marin misteri terdampar di tepi pantai.
Namun, menurut Pusat Sains Marin Hatfield di Oregon, makhluk itu kelihatan seperti bangkai paus.
“Apa yang kelihatan seperti rambut adalah penguraian tisu badan seperti otot dan tendon.
“Saya menganggarkan bangkai ini berasal daripada paus yang mati selama beberapa bulan,” kata pengurus program Pusat Sains Marin, Jim Rice. – Agensi