JAKARTA – Seorang wanita berumur 54 tahun menerima tujuh jahitan di kepala akibat dipukul semasa menunaikan solat sunat di sebuah masjid di Kampung Lebeteng, Tarub di Kabupaten Tegal di Jawa Tengah baru-baru ini.
Portal berita Kompas.com melaporkan bahawa mangsa yang dikenali sebagai Ruminah sedang menunaikan solat sunat sebelum masuk waktu Subuh semasa kejadian berlaku.
“Selepas saya bangun dari sujud dan kemudian mengangkat takbir, tiba-tiba terasa seperti ada orang memukul kepala (saya).
“Saya tidak dapat melihat orang yang memukul tetapi sempat menjerit meminta pertolongan daripada jemaah lain,” katanya.
Ada jemaah di masjid berkenaan yang terdengar jeritan pertolongan itu sempat mengejar suspek namun, tidak berjaya menangkapnya.
Selepas kejadian, Ruminah segera dikejarkan ke klinik berhampiran untuk rawatan.
Sementara itu, seorang pegawai penyiasat polis, Asisten Komisioner Heru Sanusi berkata, kejadian itu bukan satu bentuk serangan terhadap jemaah masjid dan masih menyiasat perkara berkenaan.
“Insiden ini bukan serangan terhadap jemaah yang sedang solat di masjid kerana mangsa pada ketika itu bersolat sendirian, manakala ada seorang lagi yang sedang mengaji.
“Kami sedang menyiasat kejadian ini dengan lebih lanjut dan seorang individu yang disyaki melakukan serangan sudah dikenal pasti identitinya,” kata beliau. – Agensi