KOTA BHARU – Seorang peniaga kerugian hampir RM50,000 selepas restoran yang terletak di Jalan Kadir Adabi di sini terbakar hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.55 tengah hari semasa mangsa, Nisah Awang,52, sedang memasak di dapur premis tersebut.
Menurut Nisah, sewaktu memasak, dia menyedari salah satu kepala tong gas tercabut dan mengeluarkan bau kuat.
“Saya cuba mengheret tong gas keluar ke bahagian tengah, namun api marak dan menyambar tong gas itu. Mujur saya sempat melepaskan tong gas dan lari melalui pintu belakang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian.
Nisah memberitahu, dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri meskipun api merebak dengan cepat, namun sedih kerana restoran yang menjadi tempatnya mencari rezeki sejak 22 tahun lalu itu musnah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, tiga buah jentera bersama anggota BBP Kota Bharu, Darul Naim dan Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
“Anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kedai berhampiran. Kebakaran itu menyebabkan hampir 85 peratus restoran tersebyt musnah.
“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE