KOTA BHARU – Keputusan Pas untuk menggunakan simbol bulan bagi tiga negeri yang diterajui iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana merasakan logo tersebut lebih dekat dengan rakyat dan senang diingati berbanding logo Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd. Amar Abdullah berkata, selain itu, penggunaan logo Pas di tiga negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan permintaan daripada ahli-ahli dan pimpinan di negeri-negeri terbabit.
“Pas merasakan simbol bulan senang diingati berbanding logo PN yang masih baharu. Mungkin sebahagian pengundi terutama warga emas akan keliru tambahan warna logo PN lebih kurang sama dengan dengan Barisan Nasional (BN).
“Alhamdulillah, hasil perbincangan dengan pimpinan Bersatu, hasrat itu (menggunakan simbol bulan) telah dipersetujui,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Panchor Sejahtera di Kompleks Tarbiah Panchor, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Mohd. Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor menjelaskan, permohonan penggunaan logo parti untuk pilihan raya perlu dibincangkan di peringkat pusat.
Menurutnya, permintaan Pas Selangor sebelum ini untuk turut menggunakan simbol bulan pada PRU15 juga perlu dibawa dan dibincangkan di peringkat pusat terlebih dahulu.
“Pas Pusat akan bawa permintaan itu dalam Mesyuarat Pimpinan PN dan perlu dipersetujui secara bersama terlebih dahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE