PADANG BESAR – UMNO Bahagian Padang Besar bercadang untuk menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi daripada MCA bagi meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Bahagiannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, langkah itu adalah sebagai persediaan bagi mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kelima-lima DUN di bawah Parlimen Padang Besar.
Katanya, calon MCA dibimbangi akan tewas sekiranya kekal bertanding di kerusi itu pada kali ini.
Beliau berkata, pihaknya juga telah berbincang dengan MCA negeri berhubung perkara tersebut memandangkan terdapat ramai pengundi yang melakukan protes terhadap calon dikemukakan parti berkenaan sebelum ini.
“Kita membuat permohonan ini berikutan pengundi kawasan DUN Titi Tinggi menolak calon MCA tetapi mereka sedia untuk menerima calon daripada UMNO sekiranya bertanding.
“Oleh itu, kita juga telah berbincang dengan kepimpinan tertinggi parti supaya kawasan DUN yang menang tipis diwakili MCA sebelum ini dapat diserahkan kepada UMNO pada PRU15,” katanya selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO 2022 Bahagian Padang Besar, hari ini.
DUN Titi Tinggi merupakan kerusi tradisi MCA dan dalam PRU14, parti itu meraih kemenangan tipis dengan majoriti 142 menerusi calon mereka, Teh Chai Aan.
Chai Aan menang dalam pertembungan empat penjuru dengan memperoleh sebanyak 2,762 undi melawan calon DAP, Teh Seng Chuan (2,620 undi), calon Pas, Kamis Yub (2,291 undi) dan wakil Bebas, Yaacob Man (132 undi).
Dalam pada itu, Zahidi yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Bahagian Padang Besar turut mencadangkan supaya calon Menteri Besar Perlis akan dipilih dalam kalangan wanita sekiranya parti itu memenangi PRU15 kali ini.
“Langkah ini juga selaras dengan cadangan MKT UMNO yang meluluskan cadangan untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada PRU15.
“Jadi kalau kita betul ikhlas dalam perkara ini, biarlah Menteri Besar di Perlis dipilih dalam kalangan wanita untuk suntik semangat kepada UMNO Perlis,” katanya. – KOSMO! ONLINE