KUALA KANGSAR – Penubuhan Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan yang kini berusia 100 tahun mengabsahkan peranan raja Melayu melindungi, memelihara, membangunkan dan mengembangkan agama Islam.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sebagai sebuah institusi agama tertua di negeri ini, Madrasah Idrisiah merupakan khazanah ummah yang berperanan sebagai tapak semaian pembangunan minda hingga berjaya melahirkan ribuan ulama dan umara.
“Madrasah Idrisiah mencipta kejayaan kerana adanya sokongan dan keyakinan. Institusi agama itu menunjukkan bahawa impian dan wawasan boleh direalisasikan jika ada kesungguhan, komitmen, pengorbanan dan semangat dermawan.
“Ia juga melambangkan pentingnya rangkaian ilmu dan ibadah, pentingnya rumah ibadah tidak hanya tegak sebagai bangunan ikonik yang sepi dalam isolasi sebaliknya hendaklah dilengkapi dengan institusi keilmuan yang membangunkan modal insan, modal intelek dan modal budaya,” titah baginda pada Sambutan 100 Tahun Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan dekat sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan mengumumkan kurniaan RM500,000 sumbangan Yayasan Sultan Azlan Shah kepada Madrasah Idrisiah.
Terdahulu, baginda turut berkenan merasmikan pemuliharaan bangunan induk dan asrama puteri Madrasah Idrisiah.
Baginda bertitah, Madrasah Idrisiah mengisahkan hasil tuaian daripada rangkaian semangat bekerjasama antara istana, ulama, umara dan rakyat setempat.
Katanya, madrasah itu juga menjadi dalil akan peranan penting dana wakaf yang sewajibnya dikunjungi dan digerakkan dengan lebih aktif oleh ummah pada hari ini.
“Madrasah Idrisiah dibangunkan berasaskan konsep wakaf, merupakan institusi pendidikan Islam Diraja yang pertama di Perak, telah memberi dimensi baharu kepada sekolah pondok.
“Lokasi madrasah yang terletak dalam kawasan istana melambangkan madrasah ini dinaungi secara langsung oleh Paduka Seri Sultan dan didukung bersama oleh para pembesar istana dan ulama,” ujar baginda. – KOSMO! ONLINE