COLOMBO – Lebih 1,000 pekerja di sebuah kilang penghasilan pelitup muka di Sri Lanka disahkan positif Covid-19 hari ini, menurut pihak berkuasa.
Kilang itu dilaporkan menghasilkan pelitup muka untuk Amerika Syarikat (AS) sehingga Ogos lalu.
Pihak berkuasa masih mencari punca jangkitan yang kini menjadi kes penularan terbesar di Sri Lanka.
Kes pertama positif Covid-19 dikesan di kilang kain itu hanya dilaporkan tiga hari lalu.
Kes di kilang berkenaan menyebabkan jumlah jangkitan terkumpul di Sri Lanka hampir mencecah paras 4,500 orang.
Kilang Brandix menyatakan usaha untuk menyekat penularan wabak secara besar-besaran di fasiliti pengeluarannya di bandar Minuwangoda, daerah Gampaha dekat sini adalah sukar.
“Sebahagian besar kes positif didapati asimptomatik atau tidak menunjukkan gejala simptom berkait Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pihak berkuasa berkata, seramai 1,026 pekerja daripada 1,700 orang disahkan positif Covid-19 dan kini dirawat di hospital.
Baki pekerja termasuk ahli keluarga mereka kini dalam proses untuk dipindahkan ke pusat-pusat kuarantin milik kerajaan.
Semua individu yang dikuarantin ini akan menjalani ujian saringan koronavirus dalam tempoh beberapa hari lagi.
Brandix merupakan salah satu pengeksport pakaian terbesar Sri Lanka. Firma itu pada Ogos lalu membuat kiriman sebanyak 200 juta pelitup muka tiga lapisan kepada satu pelanggan di AS.
Setakat ini, maklumat mengenai pelanggan atau syarikat pengimport di AS itu masih tidak didedahkan. – AFP