BRUSSELS – Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (CJEU) membenarkan syarikat beroperasi di negara-negara blok berkenaan untuk melaksanakan larangan pemakaian tudung di tempat kerja, lapor laman berita RT semalam.
Keputusan itu dibuat susulan kes seorang wanita beragama Islam yang menyaman sebuah syarikat Belgium pada 2018 selepas dia dilarang memakai tudung semasa menjalani latihan di firma itu.
Majikan wanita itu berkata, larangan tersebut adalah sebahagian daripada dasar berkecuali syarikat yang melarang pemakaian apa-apa jenis penutup kepala termasuk topi, beanie atau selendang, atau simbol agama dan tidak disasarkan kepada sesiapa secara khusus.
Dalam keputusannya, CJEU mengekalkan dasar syarikat Belgium itu dan mengakui bahawa tiada diskriminasi langsung dalam larangan tersebut.
“Peraturan yang melarang pemakaian tanda agama, falsafah atau kerohanian adalah bukan diskriminasi secara langsung kerana diguna pakai untuk semua pekerja secara umum dan tidak berat sebelah,” demikian penjelasan CJEU dalam kenyataan akhbar.
Keputusan itu dibuat selepas CJEU pada tahun lepas mengumumkan bahawa firma-firma EU boleh mengenakan larangan ke atas hijab atau apa-apa jenis penutup kepala lain selagi dasar sedemikian ‘diwajarkan oleh keperluan majikan untuk mempamerkan imej neutral kepada pelanggan atau mencegah pertikaian sosial’.
Isu kebenaran pemakaian penutup kepala atau muka oleh pekerja beragama Islam di tempat kerja atau tempat awam telah dipertikaikan oleh seluruh anggota EU selama bertahun-tahun dan menjadi titik perdebatan mengenai integrasi orang Islam ke dalam masyarakat Eropah.
Pada 2004, Perancis yang menjadi rumah kepada komuniti Islam terbesar EU, melarang pemakaian semua jenis tudung di sekolah sekali gus menjadi negara EU pertama memperkenalkan larangan terhadap penutup muka penuh seperti niqab dan burqa di tempat awam.
Sejak itu, langkah serupa dilaksanakan buat oleh Belgium, Denmark, Austria, Belanda, beberapa negeri di Jerman, Itali, Sepanyol dan Switzerland. – Agensi