PETALING JAYA – Setiap kali tibanya bulan Ramadan, umat Islam di seluruh negara pasti akan berpuasa bermula seawal azan Subuh sehinggalah berkumandang azan Maghrib.
Namun, ramai tidak tahu berpuasa sebenar banyak mendatangkan manfaat kepada tubuh badan manusia sekali gus menjadi kita semakin sihat.
Pakar perubatan, Dr. Zubaidi Ahmad berkata, menerusi kajian oleh jurnal penyelidikan terkemuka Science, berpuasa boleh mengurangkan risiko jangkitan kuman.
Selain itu katanya, berpuasa juga mampu meningkatkan tahap hormon pertumbuhan (growth hormone) dalam darah sehingga lima kali ganda untuk pembentukan tisu otot.
“Berpuasa juga mampu mendorong penurunan ketara paras insulin dalam darah yang sekali gus membantu pembakaran lemak.
“Puasa juga membolehkan badan membersihkan pelbagai sisa toksin dan mengitar semula komponen sel yang rosak. Proses ini dikenali sebagai ‘autofagi’ atau ‘memakan diri sendiri’ di mana sel akan menghancurkan komponennya yang tidak berfungsi melalui proses kitar semula.
“Menariknya, proses ini hanya boleh dimulakan dari ‘kebuluran’ sel itu sendiri, dan puasa adalah salah satu faktor utama yang membantu memulakan proses autofagi. Ia dianggap sebagai proses detoksifikasi semula jadi,” katanya di laman Facebook semalam.
Menurut Zubaidi lagi, baru-baru ini, seorang ahli biologi sel dari Jepun, Yoshinori Ohsumi memenangi Hadiah Nobel dalam bidang Perubatan pada Oktober tahun 2016 berjaya membuktikan penemuan ini.
Ujar beliau, seorang muslim akan mendapat kedua-dua manfaat kesihatan rohani dan fizikal jika ia mengamalkan puasa dengan niat yang betul.
“Manfaat kesihatan adalah ganjaran diberikan kepada manusia hanya dengan kehendak Allah SWT. Oleh yang demikian, kita perlu menyemai keikhlasan kepada Allah dalam setiap ibadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE