fbpx

Tingkat kemahiran inovasi, digital ekopelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NORLIYANA menyarankan agar capaian internet dan kemudahan teknologi ditambah baik untuk lonjakkan industri ekopelancongan.

PUTRAJAYA – Kerajaan disaran meningkatkan kemahiran inovasi dan pendigitalan dalam kalangan pemain industri ekopelancongan bagi memastikan sektor itu lebih berdaya tahan pada masa akan datang.

Felo Penyelidik Institut Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Siti Norliyana Harun berkata, antara pelan tindakan yang boleh diambil termasuk menambahbaik capaian Internet dan kemudahan teknologi digital di kawasan pelancongan terpencil.

Katanya, usaha itu turut memberikan latihan dan kemahiran teknologi digital kepada penggiat sektor ekopelancongan terutamanya membabitkan belia serta wanita.

“Kerajaan juga boleh memberikan insentif atau suntikan modal kepada penggiat ekopelancongan untuk menambahbaik perniagaan dengan menggunakan teknologi digital bagi mempromosikan perniagaan mereka.

“Bantu juga boleh melibatkan suntikan dana kepada penggiat industri selain mendaftarkan perniagaan mereka untuk memastikan segala butiran tersebut terkandung di dalam ‘database’ bagi mengelak tercicir daripada menerima sebarang bantuan,” katanya ketika ditemui pada Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di sini kelmarin.

Terdahulu, Siti Norliyana bersama seorang lagi panel, Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan, Kewangan dan Perniagaan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Dr. Foo Lee Peng membuat pembentangan bertajuk, Pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan Ekopelancongan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemain industri ekopelancongan juga perlu dilatih supaya mempunyai kemahiran-kemahiran lain seperti menghasilkan produk untuk dipasarkan.

“Sebagai contoh di Kuala Gula, Perak, mereka dilatih untuk menghasilkan produk sos daripada buah berembang dan kemudiannya dipasarkan. Latihan juga diberi bagaimana untuk pastikan produk tersebut sentiasa ada sedangkan buah berembang itu sendiri bermusim.

“Mereka yang tiada produk untuk diletakkan di platform e-dagang pula kita boleh beri latihan untuk menyediakan servis atau mengurus dan menganjurkan program secara virtual,” ujarnya.

Selain itu, katanya, bagi membina ketahanan untuk lebih berdaya saing dalam sektor berkenaan, komuniti perlu mempunyai kesedaran dan sikap untuk beradaptasi dengan sebarang perubahan dan kejutan pada masa hadapan.

“Covid-19 menyebabkan hampir kesemua sektor industri menjadi lumpuh, tiada pelancong yang datang dan pendapatan mereka juga merudum, jadi kita perlu pastikan penggiat industri ini boleh terus bertahan dalam apa jua situasi.

“Apa yang penting, pandemik Covid-19 ini mungkin bukan yang terakhir, jika ia terjadi lagi atau berlakunya perubahan iklim, kita mahu mereka beradaptasi. Kita turun ke lapangan, buat penilaian dan ajar mereka apa yang perlu dilakukan sesuai dengan kehendak atau keperluan ketika itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI