fbpx

MPN cadang bangunkan sistem bersepadu yang lebih telus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin (tengah) bergambar kenangan bersama Sulaiman (dua kiri) dan pembentang kertas kerja Seminar Kebangsaan : Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Hotel Everly. - FOTO/ FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Satu sistem bersepadu perlu dibangunkan dalam usaha memudah cara proses koordinasi penyaluran bantuan kepada rakyat sekali gus membolehkan ia disebarkan secara menyeluruh dan berpusat.

 Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu disuarakan ekoran ada segelintir individu dipinggirkan memandangkan maklumat diri mereka tidak diselaraskan.

Malah, beliau turut mendedahkan, situasi janggal sedemikian masih lagi berlaku meskipun hampir semua agensi awam dan pihak kementerian menyediakan bantuan untuk kemudahan rakyat.

 “Malangnya, ada nama yang didapati langsung tertinggal tanpa bantuan dan pada masa sama ada pula individu menerima banyak bantuan daripada pelbagai agensi berbeza.

“Jadi, dengan diintegrasikan data tersebut, proses penyaluran bantuan dapat diagihkan lebih telus,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial dianjurkan MPN dan Institut Masa Depan Malaysia di sini kelmarin.

 Program itu menampilkan pembentangan 12 penyelidik geran Program Pembangunan Dasar dan resolusi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob.

Katanya, penyelarasan itu turut melibatkan pelbagai kaedah termasuk subsidi yang diberikan secara cekap kepada golongan sasar selain mekanisme itu  berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial.

 “Sistem bersepadu itu juga akan dapat mengenal pasti bantuan jangka pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak serta mengurangkan karenah birokrasi.

 “Pada masa sama, ia juga mengoptimumkan penggunaan kewangan negara di mana ia berjaya dilakukan di Australia tanpa ada sebarang masalah,” jelasnya.

Menurutnya, sistem automatik itu mampu mengesan situasi terkini individu seperti dibuang kerja untuk melayakkan mereka dibantu selama tidak bekerja dengan maksimum selama bulan bagi menyara ahli keluarga.

 “Mekanisme ini turut menyusun semula segala bentuk manfaat untuk penerima sejak mereka lahir sehingga akhir hayat menerusi rangkaian data rentas agensi,” jelasnya.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan, pelaksanaan kaedah itu perlu disegerakan kerana menurut data e-Kasih setakat 30 Jun lalu, ketua isi rumah (KIR) dikategorikan miskin tegar telah meningkat kepada 145,000.

 “Angka itu naik daripada hanya 45,000 pada 2020 lepas dan lebih perit, sekitar 600,000 KIR daripada kelompok M40 didapati jatuh kepada kategori miskin B40 pasca pandemik Covid-19.

 “Peningkatan berkenaan mencerminkan realiti sebenar dialami rakyat dengan ramai terpaksa berdepan situasi sukar ekoran kenaikan harga barang, kos sara hidup atau penyusutan pendapatan,” jelasnya.

Katanya, jika tiada langkah intervensi segera diambil, ia berisiko menjadi teruk sehingga tidak dapat diselamatkan di mana golongan miskin boleh menjadi papa kedana.

 “Justeru, saranan agar dibentuk sistem bersepadu itu membolehkan rakyat yang terkesan akan segera dibantu kerana data mereka dikemas kini dengan efisien serta merentasi agensi,” katanya. – KOSMO! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI