LONDON – Peningkatan kualiti gandingan Harry Kane dan Son Heung-min dijangka terus memainkan peranan penting buat Tottenham Hotspur bagi mengharungi aksi seterusnya, bermula dengan kunjungan Everton di Stadium Tottenham Hotspur tengah malam ini.
Pengendali Spurs, Antonio Conte juga mengakui semua pemain sentiasa bekerja keras untuk berada pada tahap terbaik dan kini menaruh harapan supaya kecederaan lutut Richarlison tidak begitu serius, sekali gus mampu beri lebih banyak pilihan untuk menghadapi Everton.
“Richarlison mengalami masalah pada lutut dan saya harap ia tidak serius. Sepanjang minggu kami melakukan banyak kerja dan cuba mewujudkan kombinasi terbaik dalam kalangan penyerang kami.
“Kami juga perlukan khidmat Dejan Kulusevski kerana dia juga seorang pemain penting buat pasukan. Tugasan menentang Everton juga bakal beri cabaran kepada kami.
“Everton mungkin tidak memulakan kempen dengan bagus tetapi kini mereka mula bangkit dengan prestasi lebih baik. Mereka memiliki skuad dan pengurus yang miliki kualiti,” katanya.
Ketika ini, Spurs menjadi tiga pasukan teratas Liga Perdana Inggeris dan kini sedang berada prestasi terbaik, mengharungi tiga perlawanan tanpa tewas termasuk kejayaan raih kemenangan 3-2 ke atas Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Juara-Juara.
Pada perlawanan itu menyaksikan Heung-min meledak dua gol dan Kane turut mencipta nama selaku penjaring, sekali gus memastikan permulaan cemerlang Spurs di pentas Eropah, mendahului carta Kumpulan D.
“Ia adalah kemenangan penting buat kami, namun masih ada perkara yang kami perlu baiki kerana selepas ini kami ada perlawanan besar. Paling penting kami perlu bersiap sedia lebih baik berbanding pasukan lain,” kata Heung-min. – AGENSI