LONDON – Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers akui pemilik kelab sudah dapat merasakan kesukaran untuk cuba mengeluarkan pasukan itu daripada zon bahaya dan langkah awal kini akan bermula dengan pertemuan dengan menentang Crystal Palace malam ini.
Pada masa ini, The Foxes bakal mengharungi detik mengecewakan apabila tewas tujuh daripada sembilan perlawanan awal, sekali gus menguji kemampuan kewangan pasukan untuk turut serta pada pasaran perpindahan pemain akan datang.
Dengan hanya empat mata yang dikutip setakat ini, ia memberi tekanan besar buat Rodgers tetapi pengurus itu sedar pengurusan tertinggi juga sedang merasai situasi sukar ini dan langkah segera perlu dilakukan untuk sekurang-kurangnya mengutip 40 mata.
“Mereka dapat merasakan yang saingan musim ini akan menjadi sukar seperti apa yang pernah dilakukan pada musim panas lalu. Kesukaran ini terpaksa dilalui selepas tiada sebarang penambahbaikkan dalam pasukan.
“Namun, mereka memberikan dedikasi penuh kepada saya dan pemain. Mereka menunjukkan keyakinan dan berikan sokongan penuh yang saya mampu memimpin pasukan dalam tempoh sukar ini.
“Saya juga menyedari di mana kedudukkan kami, namun fokus saya sekarang adalah untuk memacu pasukan Leicester dan saya tetap percaya dengan apa yang kami ada, pasukan ini masih mampu lakukan lebih baik,” katanya.
Satu-satunya kerisauan Rodgers ketika ini apabila bakal menerima kunjungan Crystal Palace tanpa kelibat ketua pasukan, Jonny Evans, namun akur tugasnya kini lebih kepada usaha membantu pemain keluar daripada detik sukar.
“Dedikasi saya sekarang adalah terhadap pemain, bantu mereka mengharungi detik sukar. Ia memerlukan sedikit masa untuk kami keluar daripada kedudukkan ini, namun saya tetap percayakan proses yang kami mampu lakukannya,” kata Rodgers. – AGENSI