MOSCOW – Rusia hari ini memindah keluar lebih 1,000 orang dari beberapa perkampungan berhampiran selepas satu kebakaran terbuka menyebabkan letupan sebuah depoh simpanan senjata di wilayah Ryazan, tenggara Moscow, kata pihak berkuasa.
Kebakaran berlaku di depoh berkenaan kira-kira 1.40 waktu tengah hari tadi, dicetuskan oleh kebakaran kawasan rumput kering berdekatan, menurut satu kenyataan Kementerian Kecemasan kepada agensi berita AFP.
“Ini membawa kepada beberapa kejadian letupan berlaku,” kata kementerian sama.
Sebuah kereta api bomba dengan kekuatan 100 anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran tersebut.
“Menurut maklumat awal, lebih 1,600 orang sudah dipindahkan daripada 14 kawasan penempatan,” menurut kementerian itu.
Menteri Kecemasan, Yevgeny Zinichev dilaporkan sudah berlepas ke kawasan insiden.
BACA >> Depoh senjata meletup, lebih 10 kampung terpaksa dipindahkan
Tentera wilayah barat menyatakan kumpulan askar sudah dipindahkan keluar selepas usaha mereka untuk memadamkan kebakaran gagal.
“Kakitangan dan staf awam sudah dipindah keluar. Tiada sesiapa mengalami kecederaan,” menurut kenyataan sama.
Seramai 146 kanak-kanak dipindahkan keluar dari perkampungan terdekat Zheltukhino, menurut pihak pentadbir wilayah Ryazan. – AFP