KUALA LUMPUR – Tampil dengan wajah polos pada majlis hiburan, pelakon Datin Lisa Surihani mengakui kadangkala berasa malas untuk bersolek.
Sering dipuji netizen dengan penampilan terkini yang sederhana dan sopan, Lisa bagaimanapun berkata, dia sebenarnya tidak terlalu memikirkan soal penampilan secara mendalam.
“Saya sebenarnya malas fikir sangat fasal ‘make up’ jika nak keluar ke mana-mana.
“Kalau ada netizen yang komen cakap suka saya tanpa ‘make up’, itu saya tak berapa pasti.
“Saya sendiri tidak fikir terlalu terperinci berkenaan isu menggunakan atau tidak pakai ‘make up’ semua ini,” katanya.
Selain itu, ditanya tentang penghijrahannya, Lisa mengakui masih berusaha untuk kekal istiqamah dan berharap orang ramai turut mendoakan perjalanannya.
“Kita sama-sama doakan, untuk istiqamah itu bukan mudah. Kita kena doa pada Allah supaya hati kita kekal istiqamah.
“Perjalanan saya masih jauh, banyak lagi yang saya tidak tahu,” ujarnya yang ditemui usai majlis sidang media Next To Neelofa 2 di Astro, Bukit Jalil, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Lisa turut meluahkan rasa syukur apabila urusannya untuk menuntut ilmu agama setiap hari dipermudahkan.
“Alhamdulillah jalan-jalan saya untuk menuntut ilmu agama dibuka. Kalau nak kata senang pun sebab Allah yang izinkan.
“Setiap pagi anak pergi sekolah, anak yang kecil emak saya boleh tengokkan dan saya boleh belajar online sekejap,” ujarnya.
Untuk rekod, Lisa berkahwin dengan Datuk Yusry Abdul Halim pada 23 Februari 2012.
Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata bernama Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.