fbpx

PM yakin KDNK negara mampu capai 7 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin ekonomi negara mampu mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.5 peratus hingga tujuh peratus, pada tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya optimis dengan perkembangan itu dengan mengambil kira pencapaian separuh pertama 2022 iaitu sebanyak 8.9 peratus.

Ujarnya, dalam tempoh setahun, Kerajaan Keluarga Malaysia telah berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu 3.7 peratus pada Julai 2022, berbanding 4.8 peratus pada Julai 2021.

“Bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, kerajaan juga menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion. Subsidi terbesar dalam sejarah.

“Daripada jumlah itu, lebih 50 peratus adalah untuk subsidi petrol, diesel dan LPG iaitu RM41.7 bilion, bantuan terus kepada rakyat seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian bernilai RM25.7 bilion dan RM5.8 bilion untuk tarif eletrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menempelak dakwaan pembangkang mengenai kedudukan Malaysia yang tidak lagi menjadi destinasi pelaburan asing.

“Pembangkang kononnya mendakwa negara ini bukan lagi destinasi pelaburan asing, namun bagi separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM47.4 bilion,” katanya.

Perdana Menteri juga menjelaskan, keputusan membubarkan parlimen pada baru-baru ini adalah demi memulangkan kembali mandat kepada rakyat yang merupakan penawar ampuh bagi kestabilan politik.

Katanya, keputusan itu membolehkan sebuah kerajaan yang teguh stabil serta dihormati dapat diwujudkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI