Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
ALOR GAJAH – Beberapa penduduk Kampung Ulu Sungai Buloh dekat sini berdepan detik cemas apabila terserempak dengan seekor ular tedung selar seberat lima kilogram di sebuah rumah usang, petang tadi.
Reptilia sepanjang dua meter itu bagaimanapun berjaya ditangkap dengan bantuan Sepasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri.
Pegawai Operasi APM Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, panggilan kes menangkap ular (KMU) diterima pada pukul 2.18 petang dan seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, anggota kita mendapati terdapat seekor ular tedung selar sedang berehat di sebuah rumah usang yang ditinggalkan.
“Pasukan kita berjaya menangkap ular tersebut dalam masa empat minit dan melepaskannya ke habitat asal yang jauh dari kawasan perumahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya percaya ular tersebut telah “bertapa” di rumah usang itu dalam tempoh agak lama berdasarkan penelitian pada badan haiwan itu yang dipenuhi kutu.
“Difahamkan oleh anggota yang menangkapnya, badan ular tedung selar ini dipenuhi dengan kutu sebesar ibu jari.
“Jadi, kita percaya haiwan berbisa ini telah lama bertapa di rumah usang itu sebelum dia dijumpai oleh penduduk kampung,” katanya. – K! ONLINE