fbpx

Murid 10 tahun berkorban balas jasa nenek angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAINA SHAFIAH (kanan) dan Habibah (tengah) menerima kunjungan Ardanan di Kampung Radek, Chepir, Sik baru-baru ini.

SIK – “Saya lakukan semua ini kerana ingin membalas jasa nenek yang banyak berkorban menjaga kami walaupun tidak mempunyai pertalian kekeluargaan.”

Demikian ujar Noraina Shafiah Salleh, 10, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Chepir, di sini yang menjaga Habibah Musa, 80, setiap hari.

Pada ketika rakan sebaya lain bebas bermain memenuhi masa lapang, Noraina Shafiah tetap setia berada di sisi Habibah untuk mengurus keperluan harian warga emas itu yang uzur dan patah kaki sejak setahun lalu.

“Saya ambil alih jaga nenek setiap hari selepas pulang dari sekolah kerana ibu, Siti Hamimah Mat Desa, 40-an, keluar mencari rezeki sebagai tukang cuci.

“Rutin saya setiap hari pulang sekolah ialah menghidangkan makanan nenek, memandikan dia dan menjaga keperluannya kerana dia tidak boleh bergerak,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, selain penglihatannya kabur, Habibah juga tidak boleh berjalan dan perlu berba­ring selepas sebelah kakinya patah terjatuh di bilik air.

“Selesai uruskan nenek, saya akan buat kerja sekolah dan ulang kaji pelajaran dan tidak mempunyai masa untuk bermain seperti rakan sekampung lain.

“Namun, saya tidak kisah sa­ngat kerana ini saja saya mampu buat untuk balas jasa nenek yang banyak berkorban menjaga kami selama ini.

“Nenek tiada anak dan mengambil arwah bapa, Salleh Ibrahim menjadi anak angkatnya sejak kecil untuk tinggal bersama termasuk selepas berkahwin dengan ibu hingga kami tiga beradik lahir,” ujar anak bongsu itu.

Tambahnya, mereka sekeluarga tinggal di rumah Habibah selepas bapanya meninggal dunia lima tahun lalu akibat sakit jantung sebelum ibu bertindak menjadi ketua keluarga.

Terdahulu, Pengarah Urusan ABD Enterprise, Ardanan Salleh memberi sumbangan wang tunai dan barangan dapur bagi meri­ngankan beban mereka sekeluarga. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI