PETALING JAYA – Dua remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang di dua lokasi berbeza sekitar daerah ini sedang giat dikesan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa pertama, N. Akilashini A/P Nadarajah, yang tinggal di Jalan PJS 6/5A Desa Mentari dan mangsa kedua, Ain Roshariza Abdullah (Jalan PJS 6/4E Kampung Lindongan) masing-masing dilaporkan hilang dari kediaman mereka sejak awal bulan ini.
“Kita terima laporan daripada keluarga Akilashini pukul 11.24 malam 2 Oktober lalu ekoran remaja tersebut dikatakan tidak pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam.
“Akilashini berketinggian sekitar 168cm, berbadan gempal, berkulit gelap dengan rambut hitam pendek. Dia pada kali terakhir dilihat memakai baju hitam lengan pendek, berseluar pendek hitam dan berselipar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Manakala kes kedua, katanya, keluarga Ain Roshariza telah membuat laporan pada 12 Oktober, lima hari selepas kehilangannya.
“Tinggi remaja berkenaan lebih kurang 154cm, berbadan kurus, kulit cerah dan rambut hitam panjang.
“Mangsa mengenakan baju kemeja-T, berseluar jeans dan berselipar saat kali terakhir dilihat sebelum meninggalkan rumah,” ujarnya.
Dalam pada itu, polis menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil membuat laporan dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya di 0379662222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.