fbpx

Asyraf dedah gambar pertemuan pemimpin tertinggi UMNO-Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(Dari kiri )Ahmad Zahid, Mohammad, Tuan Ibrahim dan Hadi ketika pertemuan pada Rabu lalu.

PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan sekeping gambar pertemuan lapan mata antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti UMNO dan Pas pada hari Rabu lalu.

Gambar tersebut menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan bersama Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelas Asyraf, gambar tersebut diambil sehari sebelum Pas membuat keputusan kekal bersama parti Bersatu dalam gagasan Perikatan Nasional (PN).

Pertemuan tersebut katanya adalah ikhtiar terakhir UMNO untuk berlapang dada menerima Pas bagi menyelamatkan Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan bersama sewaktu 22 bulan sama-sama menjadi pembangkang bagi menoktahkan permusuhan politik puluhan tahun hingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam.

“Itupun selepas didatangi seorang pimpinan tertinggi Pas yang membawa mesej bahawa Majlis Syura Pas dan Muktamarnya telah membuat resolusi mahukan hubungan Pas dan UMNO dipulihkan kembali. Dewan Ulamak mereka juga dikhabarkan membuat resolusi serupa.

“Justeru, UMNO sudah cukup berjiwa besar untuk menerima kembali Pas, walaupun dikhianati apabila parti itu bersetuju mendaftarkan PN bersama Bersatu sedangkan penafian dibuat beberapa kali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN,” jelasnya di Facebook sebentar tadi.

Jelas Asyraf, sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dahulu, UMNO menawarkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menang kepada Pas untuk ditandingi walaupun Bersatu menjanjikan 11 kerusi kepada mereka.

“Begitu juga pada pertemuan kali ini, Pas menegaskan bahawa jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada mereka.

“Namun bagi UMNO, perundingan untuk kembali mengukuhkan MN kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi yang bakal diperkongsikan bagi menghadapi PRU15,” jelasnya.

Katanya, sebagai sebuah parti perjuangan, UMNO tidak akan pernah patah semangat walaupun madu dibalas tuba. Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air adalah landasan yang akan diperluaskan.

“UMNO yakin, rekod perjalanan yang panjang telah banyak menyaksikan, kerjasama atas sifat berkepentingan bukannya keikhlasan semata-mata hanya menatijahkan pengkhianatan dan kerosakan.

“Allah menjadi saksi usaha semaksimumnya telah dilakukan untuk menyelamatkan agenda penyatuan ummah terutamanya permuafakatan UMNO-Pas demi memastikan umat Islam terutamanya jutaan ahli kedua-dua parti induk umat Islam-Melayu ini dapat dipertautkan kembali.

“Mungkin ada hikmah yang Allah rahsiakan kepada kita semua di sebalik episod ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI