KUALA PILAH – Seorang ibu tunggal dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, selepas mengaku bersalah menghisap dadah, Julai lalu.
Tertuduh, Norshahira Latif, 28, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan, pada 1 Julai lalu kira-kira pukul 8.25 malam bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah, tertuduh telah didapati memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Oleh itu, tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun dan hendaklah dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi kemudiannya meminta Majistret memberikan hukuman setimpal memandangkan tertuduh mempunyai dua rekod lampau di bawah seksyen yang sama iaitu di Jempol pada tahun 2019 dan di Tampin pada tahun 2018 yang turut disabitkan kesalahan memiliki dadah
Majistret kemudiannya menyoal tertuduh mengapa masih mengulangi kesalahan yang sama.
“Tak sedar lagi,” jawab tertuduh ringkas.
Majistret kemudiannya menyatakan hukuman berat mesti dikenakan kepada tertuduh bagi memberi pengajaran sebelum menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dan dua tahun pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).-KOSMO! ONLINE