AKSI mantap yang ditampilkan penjaga gol muda Kedah, Muhammad Azri Ghani ketika menang 1-0 ke atas Melaka United pada aksi Liga Super Isnin lalu mendapat pujian ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Helang Merah berjaya memintas Perak untuk kembali berada di kedudukan kedua dengan perbezaan satu mata.
Aksi Kedah dan Perak Ahad ini pastinya menarik memandangkan kedua-duanya akan membuat perhitungan bagi merebut slot ke Piala AFC selaku naib juara Liga Super.
Aidil mengakui lega apabila berjaya mengutip tiga mata pada aksi menentang Melaka selain mengakui aksi tangkas Azri banyak selamatkan pasukannya.
“Saya sangat gembira dengan tiga mata yang diperoleh. Sebenarnya bukan mudah untuk tewaskan Melaka yang sentiasa beri tekanan tinggi kepada kami.
“Bagaimanapun, kami berjaya mengekang asakan mereka disebabkan aksi tangkas Azri serta benteng pertahanan. Dia banyak menyelamatkan percubaan berbahaya,” kata Aidil.
Mengulas aksi terakhir menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh Ahad ini, jurulatih dari Singapura itu berharap pemainnya mendapatkan rehat mencukupi bagi memastikan kecergasan berada pada tahap terbaik.
“Aksi menentang Perak sangat penting kerana ia adalah aksi terakhir liga serta penentuan ke Piala AFC. Saya harap semua pemain dapatkan rehat secukupnya menjelang perlawanan itu nanti,” tambah beliau.